Thursday 17 November 2011

MENGHADAPI ANAK YANG KURANG BERJAYA DALAM PEPERIKSAAN

Keputusan UPSR 2011 telah diumumkan. Anak-anak yang berjaya tentunya telah diraikan dengan pelbagai cara oleh ibubapa , ahli keluarga ataupun rakan-rakan. Namun bagaimana dengan anak-anak yang kurang menyerlah walaupun pelbagai usaha telah dibuat. Ada ibubapa atau anak-anak yang kurang berjaya ini gagal menerima kenyataan. Ada suami dan isteri bermasam muka atau saling menyalahkan antara satu sama lain kerana hal ini. Ada anak-anak yang murung dan tertekan kerana kegagalan dan krisis yang berlaku akibat dari keputusan yang kurang memuaskan.

Sebagai ibubapa, tentunya kita tidak ingin anak-anak kita terus dirundung kegagalan. Ada kata-kata hikmat yang menyatakan"gagal sekali tidak bererti gagal untuk selama-lamanya". Seperti setiap penyakit ada ubatnya (Tuhanlah penyembuh yang hebat) maka permasalahan dan persoalan juga ada jalan keluarnya. Oleh yang demikian jika punca kegagalan anak-anak itu daripada masalah dalaman keluarga maka ubatnya juga adalah menyelesaikan masalah dalaman berkenaan. Dalam hal ini kita harus positif bahawa segala sesuatu ada jalan penyelesaiannya. Saya meyakini ibu bapa adalah peribadi yang cukup dewasa dan matang untuk memahami keperluan anak-anak mereka.Oleh yang demikian apabila anak-anak gagal atau tidak cukup cemerlang dalam peperiksaan maka kita tidak perlu mencari pihak lain untuk"dikambing hitamkan" (seperti yang penulis jelaskan dalam tulisan sebelum ini).Sebaliknya, para ibubapa bolehlah muhasabah diri serta mengambil langkah untuk memperbaiki keadaan. Antara  tindakan yang boleh dilakukan ialah;

1. Perbaiki hubungan antara suami dan isteri.
Jadikan rumah tangga itu sebagai "surga kecil" bagi anak-anak. Hiasi rumah tangga dengan kasih sayang, saling menghargai, menghormati dan saling mengasihi antara satu sama yang lain. Pastinya ini wajar dimulai oleh ibu dan bapa.Memperbaiki hubungan  antara ibu bapa dianggap sangat penting kerana merekalah tonggak dalam keluarga, merekalah tunjang dalam keluarga. Biarlah anak-anak dapat melihat dan mengalami perubahan itu.  Ini mungkin sukar untuk dilaksanakan, namun pengaruhnya amat besar terhadap kecemerlangan anak-anak pada tahun-tahun yang mendatang. Kalau di negara barat apabila ada kerengangan antara  ibu dan bapa, mereka  boleh berhubung dengan  kaunselor keluarga untuk meminta nasihat dan bimbingan tetapi sebenarnya  kita juga boleh meminta nasihat dari "pemimpin agama" kita, atau langkah yang terpenting ialah sentiasa meminta pertolongan dan kekuatan daripadaNya.

2. Fokuslah pada pembentukan keperibadian anak-anak dengan kasih sayang.
Memberikan kasih sayang terhadap anak-anak merupakan satu bentuk pendidikan yang mampu memberikan impak positif pada minda mereka. Oleh yang demikian fokus ibubapa dalam mendidik anak ialah dengan membentuk peribadi yang positif dan menyeluruh serta bukan sekadar meletakkannya pada nilai dan gred markah yang akan diperolehi oleh mereka dalam peperiksaan. Siapa pun dan bagaimana pun tahap intelek mereka, selagi mereka digelar anak mereka tetap adalah anak kita. Memberikan pendidikan pada anak-anak merupakan tanggungjawab orang tua. Ibu bapa tidak harus membuat ugutan dan tuntutan pada anak-anaknya (apa lagi yang masih peringkat kanak-kanak) dengan kenyataan negatif seperti anak-anak berhutang pada orang tua mereka yang telah menyekolahkan mereka. Faktanya ialah para ibubapa harus membalas jasa orang tua mereka dengan cara mendidik cucu-cucu mereka dengan baik.Niat yang murni untuk mendidik anak-anak sangat penting.


3. Memahami kebolehan dan kekuatan anak.
Jangan sekali-kali membandingkan anak-anak kita dengan orang lain. Perbandingan negatif akan membuatkan anak-anak juga bersikap negatif.Jika anak-anak kita gagal atau kurang cemerlang jangan bandingkan mereka dengan orang lain, adik beradik, kawan-kawannya,jiran ataupun saudara-saudaranya yang lain. Ini akan menimbulkan perasaan rendah diri, tidak yakin,dendam dan marah pada ibubapa. Kekuatan dan kebolehan anak-anak kita mungkin berbeza dengan anak orang lain. Malah ia juga berbeza dengan adik beradiknya yang lain. Berilah pujian dan penghargaan sewajarnya terhadap segala usaha dan kejayaan anak itu sekalipun kejayaan dan usaha itu kecil pada pandangan kita. Kecenderungan, kebolehan dan kekuatan anak perlu dikenalpasti agar dapat dipupuk menjadi "gergasi" dalam diri mereka. Potensi itu juga perlu digilap serta dibajai dengan sempurna dan penuh kasih sayang. Apabila ini dapat dilakukan maka pastinya kebolehan dan potensi anak-anak itu akan dapat berkembang dan peribadi mereka juga dapat bertumbuh menjadi diri mereka sendiri dan bukan "dipaksa menjadi seperti orang lain".

4. Jadilah teladan kepada anak-anak dalam mencintai ilmu (belajar/membaca).
Anak-anak sangat mudah dipengaruhi oleh apa yang dilihatnya.Mereka suka meniru, mencontohi ataupun meneladani apa yang dilakukan oleh orang di persekitarannya.Oleh yang demikian apabila ibu bapa gagal menjadi teladan yang baik mereka akan menjadikan"seseorang" sebagai orang yang boleh mereka jadikan contoh (baik/buruk). Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah menjadi teladan yang baik terutamanya dalam soal belajar (dan juga membaca). Anak-anak yang melihat orang tuanya rajin "belajar dan membaca"  serta sentiasa mengambil berat terhadap apa yang mereka lakukan akan menjadi menjadi ikutan atau idola anak-anak. Malah tabiat positif ibubapanya juga akan dikuti oleh anak-anak, seperti pepatah melayu yang berbunyi "bapa borek anak rintik."Begitu juga dalam hal mengambilberat terhadap perkembangan pelajaran anak-anak perlulah dilakukan oleh ibubapa.Persoalannya adakah kita menjadi idola yang positif buat mereka?..kalau tidak anak-anak itu akan mencari idola di luar sana yang mungkin tidak bersesuaian.


Akhir sekali, kegagalan anak-anak kita tidak bererti kiamat telah tiba, kita harus terima hakikat dan jangan malu untuk mengakuinya.  Beri pengharapan dan sokongan moral pada anak-anak serta elakkan dari melabelkan mereka sehingga menjadi menjadi bahan sindiran dan punca kekecewaan. Masih belum terlambat untuk membaikinya. Prestasi kecemerlangan anak yang kurang baik hanyalah sebagai buah kepada permasalahan utama yang ada, iaitu permasalahan dalam soal berkeluarga. Permasalahan utama itu harus diselesaikan terlebih dahulu...Kadang-kadang kebenaran ini pahit dan sukar untuk kita mengakuinya, tetapi terlalu banyak bukti yang dapat diangkat untuk menyatakan kebenaran ini.

Thursday 10 November 2011

Kejayaan Secara Berjangkit

 
( Jangkitan kejayaan bergantung siapa yang kita dampingi..)
Betul ker kejayaan nie mudah berjangkit?? Bestnya..
Saya sebenarnya teringat satu tips motivasi diberikan oleh Dr Fadzilah Kamsah, kata beliau kejayaan mudah berjangkit..
Lama juga saya termenung waktu pertama kali mendengar tips beliau..Memang benar juga kata Dr Fadzilah tersebut, kejayaan mudah berjangkit..
Zaman sekolah dengan kawan2..

Kawan-kawan adalah contoh yang terbaik untuk kita jadikan satu jangkitan yg hebat untuk belajar. Pastinya kita akan terikut-ikut dan rasa ingin berlumba-lumba ingin mendapat markah yang lebih tinggi di dalam kelas.  Sebab itulah kita mesti pandai dan bijak memilih teman. Bahkan ada pepatah mengatakan jika kita berkawan dengan sipembuat minyak wangi, harumannya akan melekat sampai  ke baju kita tapi jika kita berkawan dengan sipembuat pedang atau pisau, pasti percikan apinya akan terkena pada baju kita... Jadi anak-anak didiku, pastikan anda bijak memilih rakan dan sahabat. jangan tersalah pilih...........

Bijak pilih kawan anda..
 Untuk berjaya juga boleh di aplikasikan sekiranya kita bijak memilih kawan..
Maknanya tak boleh kawan dengan semua orang ker??
Tidak, bukan itu maksud cikgu..Kita perlu berkawan dengan semua orang..Perlu kenal semua orang, jika kita tidak berkawan, bagaimana kita nak kenal sikap sahabat kita.. Boleh ke kita kenal sesorang hanya melihat dia dari jauh sahaja....tanpa bertegur sapa?? Tidak boleh bukan..
Perlu berkawan, NAMUN berkawan perlu bertempat.. Untuk berjaya, perlu dampingi kawan-kawan yang suka belajar.. Mereka yang suka membaca buku.. Suka membuat kerja dan semua perkara yang baik-baik.. Apabila kita dah dalam suasana yang baik, insyaAllah kita kan menjadi baik..
Suasana belajar yang positif perlu dipupuk.. Kalau tiap masa kawan-kawan ajak belajar, saling tolong menolong, lama-lama kita pun seronok belajar.. Kita akan mula berjaya sedikit demi sedikit..betul tak??
Begitu juga sebaliknya.. Jadi anda yang tentukan nak berada pada pihak positif atau negatif.. Yang negatif saya tak mahu sebutkanlah, boleh fikirkan sendiri..=)
Namun begitu, jangan apabila berkawan dengan mereka yang rajin sahaja.. kawan-kawan yang agak malas ditinggalkan.. Perlu dampingi mereka dan ajak mereka untuk berjaya bersama kita.. Tapi jangan kita pula terpengaruh dengan mereka yang malas berjaya..
Ingat untuk berjaya ANDA tentukan sama ada anda  ingin berjaya atau tidak..
(Pilihan untuk berjaya atau tidak terletak pada tangan ANDA..)
Kesimpulan..
Berjaya sorang-sorang ni tidak seronok.. Dalam apa jua suasana kita, sama ada belajar, bekerja, usahawan dan sebagainya.. Siapa orang sekeliling  kita akan mempengaruhi kejayaan kita..
Jika kita bersama-sama mereka, dan memberi motivasi kepada mereka untuk berjaya, membaca cerita-cerita mereka yang  sudah  berjaya..kita secara tidak langsung akan menberi aura kepada mereka untuk berjaya..
Namun sebaliknya sekiranya kita sentiasa bersama mereka yang berfikiran negatif, sentiasa berfikiran mendapat kegagalan maka tidak mustahil anda turut akan menjadi salah seorang mereka yang gagal..
Dimana kita ingin berada?? Fikir-fikirkan lah.. Kejayaan Anda Maka Anda Yang Tentukan..=)
Salam kasih sayang daripada cikgu... Semoga anda sentiasa berjaya dalam apa jua bidang yang anda ceburi...

Tuesday 8 November 2011

Kata-kata Keramat untuk Hidup bahagia

 

PETUA  UNTUK BAHAGIA
Sekadar mengambil petikan kata-kata Guru Besar SKGN Tuan Haji Aziz b A. Bakar
Kita ingat 2 perkara dan kita lupa 2 perkara....

INGAT 1
Ingatlah kebaikan orang kepada kita.
Setiap kebaikan yang orang lakukan kepada kita, ingat-ingatkan selalu. Ia menerbitkan rasa betapa bertuahnya diri sering menerima kebaikan itu.
LUPA 1
Kita hendaklah melupakan kebaikan kita pada orang. jangan diungkit jika tidak mendapat balasan yang sewajarnya. Ingatlah... balasan daripada Dia mengatasi segala-galanya.
INGAT 2
Sentiasa ingat jasa orang kepada kita, apa saja kebaikan yang telah diberikan kepada kita hendaklah sentiasa kita kenang. jangan mudah lupa jasa yang ditaburkan kepada kita..

LUPA 2
Kita lupakan jasa kita pada orang yang pernah kita tolong.. Barulah jiwa kita tenang dan tidak mengungkit-ungkit segala kebaikan yang telah kita buat.

MENGAPA PERLU MEMBERI MAAF
Mengapa harus kita segera menjadi pemaaf?
Kerana kitalah hamba yang mendambakan maaf dan ampun dari-Nya.
Kita hamba yang tak punya apa, sering berlaku dosa dan kurang pula tunduk taatnya. Maafkanlah manusia, agar Dia juga akan memaafkan kita.

Jamuan Guru-Guru SKGN









Jamuan Akhir Tahun telah diadakan di Hotel Primula Park Royal. Meriah dalam suasana yang sederhana... Terima kasih kepada pengerusi Kelab KESANA dan semua AJK yang bertungkus lumus bagi memastikan perjalanan majlis berjalan dengan lancar. Terlebih dahulu di mohon ampun dan maaf kerana hanya ada gambar ahli semeja kami sahaja...

Monday 7 November 2011

Jamuan Akhir Tahun Pelajar Tahun 6

 Jamuan Akhir Tahun untuk semua pelajar Tahun 6 telah diadakan dengan meiahnya di Dewan Kasturi SK Gong Nangka  pada jam 10.00 pagi tadi.
 Orang kuat Tahuh 6 cikgu Wan Rahanah ( Penyelaras Tahun 6 ) bergaya sakan dengan guru kelas Tahun 6IK Cikgu Nor Aznita. Dalam hati sebenarnya duk berdebar-debar menunggu result UPSR..












Mmmm.........sedapnya....



Sunday 6 November 2011

Hati Yang Bahagia


Apa maksud bahagia??? Bahagia terlalu subjektif dan makna bahagia tidak sama diantara satu sama lain. Ada orang banyak mengatakan: "Bahagia itu adalah kepuasan hati." Tapi pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagi mana ia berada di dunia ia pasti berhadapan dengan kekurangan. Kurang popular, kurang kaya, kurang cantik, kurang sihat dan pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak akan pernah rasa dengan sempurna. Selami dasar hati anda, percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu ada pada sifat reda.

Ia bagaikan ubat yang menyejukkan orang yang demam. Seperti rimbunan pohon di tengah panas yang terik, umpama hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa memujuk hati yang luka. Sesungguhnya apa-apa yang datang kepada kita adalah baik belaka kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang 'sesuai' untuk kita. Dia yang memilih, yang Maha sempurna aturan-Nya, yang suci dari cacat cela atas segala pentadbiran-Nya.

Sebagai manusia biasa ada kalanya kita ‘tidak terima' dengan apa yang terjadi pada diri. Tapi biarlah perasaan itu dikawal pada paras hanya ‘terkejut' di puncaknya, kemudian surut dengan perasaan reda atas ketentuan-Nya. Firman Allah bermaksud: "Allah pun reda ke atas diri mereka dan mereka pun reda dengan pemberian-Nya." (Surah al-Bayyinah, 98, ayat 8)

Ada dua rahsia yang terkandung dalam kalimah Allah itu, iaitu pertama adalah ayat ini cuba memujuk kita bahawa apa-apa yang datang kepada kita semuanya adalah hadiah dan pemberian daripada Allah. Ujian itu sebenarnya hadiah yang paling mahal tetapi kadang-kadang manusia menganggap ujian hanyalah  kesakitan yang tiada penghujung.

Kedua, wujudnya hubungan kasih sayang antara Allah dan hamba-Nya. Sayang akan melahirkan rasa kelegaan ke atas apa saja yang dilakukan oleh orang yang kita sayang. Semuanya akan reda apabila timbul rasa kasih dan sayang.


Tetapi mengapa pula kita merajuk jika Allah menguji kesetiaan cinta kita. Jika sakit mengeluh panjang, lupa dengan hari ketika ia sihat. Kalau rugi semua orang di amuk, di pejabat, di pasar, di rumah, di jalan raya semua terkena tempias kemarahannya. Rugi yang sedikit itu telah menutup kurniaan Allah yang banyak pada rezekinya selama ini. Betapa sengsaranya orang yang tiada sifat reda.

Hidup tidak tenang, dikejar rasa takut, hati rasa kosong padahal peti besinya penuh dengan duit. Segala hiburan dan perhiasan dunia memang boleh mendatangkan bahagia tapi bukan bahagia yang ‘diam' dalam hati, ia cuma menempel sebentar di dinding hati kemudian lenyap begitu cepat. Carilah bahagia yang hakiki di atas jalan yang telah dibentangkan oleh kekasih Allah, Muhammad SAW. Bahagia itu adalah reda. Cukup senang formulanya tetapi susah dilakukan kecuali oleh orang yang bijak mengawal perasaan lagi beriman.

Tanda reda ada tiga. Pertama adalah kata yang baik ketika menerima ujian Allah. Innalillahi wainna ilaihi rajiun (Kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan). Bukan sumpah seranah dan maki hamun rasa tak puas hati.

Kedua, ketika susah ingatlah dengan nikmat Allah yang banyak. Di situ anda akan berasa beruntung dengan apa yang ada pada diri.

Ketiga, ikhtiar jangan berhenti. Reda bukan bermakna menerima tanpa usaha. Itu adalah putus asa dan pesimis namanya. Tapi reda adalah semangat yang membangkitkan hati yang sedih, yang menajamkan akal fikiran, menguatkan hentakan kaki dan membuahkan idea yang bernas untuk berjaya. Jadilah orang yang bahagia dengan kekuatan yang tersimpan dalam mustika yang bernama reda kepada Allah.

Reda dengan apa yang dikurniakan sesungguhnya setiap apa kurniaan adalah mengikut bahagian bukan keseluruhan. Malah bersyukur adalah tunas keredaan.



Semoga hari kita hari ini lebih baik dari semalam....
Kita bina semula rasa kasih dan sayang kita kepada Dia yang telah mencipta kita dan semoga kita tergolong di dalam golongan orang yang sentiasa mendapat rahmat dan keberkatan dari Illahi....Amin
07112011

Bercakap secara Positif