Keputusan UPSR 2011 telah diumumkan. Anak-anak yang berjaya tentunya  telah diraikan dengan pelbagai cara oleh ibubapa , ahli keluarga ataupun  rakan-rakan. Namun bagaimana dengan anak-anak yang kurang menyerlah  walaupun pelbagai usaha telah dibuat. Ada ibubapa atau anak-anak yang  kurang berjaya ini gagal menerima kenyataan. Ada suami dan isteri  bermasam muka atau saling menyalahkan antara satu sama lain kerana hal  ini. Ada anak-anak yang murung dan tertekan kerana kegagalan dan krisis  yang berlaku akibat dari keputusan yang kurang memuaskan.
Sebagai ibubapa, tentunya kita tidak ingin anak-anak kita terus dirundung kegagalan. Ada kata-kata hikmat yang menyatakan"gagal sekali tidak bererti gagal untuk selama-lamanya".  Seperti setiap penyakit ada ubatnya (Tuhanlah penyembuh yang hebat)  maka permasalahan dan persoalan juga ada jalan keluarnya. Oleh yang  demikian jika punca kegagalan anak-anak itu daripada masalah dalaman  keluarga maka ubatnya juga adalah menyelesaikan masalah dalaman  berkenaan. Dalam hal ini kita harus positif bahawa segala sesuatu ada  jalan penyelesaiannya. Saya meyakini ibu bapa adalah peribadi yang cukup  dewasa dan matang untuk memahami keperluan anak-anak mereka.Oleh yang  demikian apabila anak-anak gagal atau tidak cukup cemerlang dalam  peperiksaan maka kita tidak perlu mencari pihak lain untuk"dikambing hitamkan"  (seperti yang penulis jelaskan dalam tulisan sebelum ini).Sebaliknya,  para ibubapa bolehlah muhasabah diri serta mengambil langkah untuk  memperbaiki keadaan. Antara  tindakan yang boleh dilakukan ialah;
1. Perbaiki hubungan antara suami dan isteri.
Jadikan rumah tangga itu sebagai "surga kecil" bagi  anak-anak. Hiasi rumah tangga dengan kasih sayang, saling menghargai,  menghormati dan saling mengasihi antara satu sama yang lain. Pastinya  ini wajar dimulai oleh ibu dan bapa.Memperbaiki hubungan  antara ibu  bapa dianggap sangat penting kerana merekalah tonggak dalam keluarga,  merekalah tunjang dalam keluarga. Biarlah anak-anak dapat melihat dan  mengalami perubahan itu.  Ini mungkin sukar untuk dilaksanakan, namun  pengaruhnya amat besar terhadap kecemerlangan anak-anak pada tahun-tahun  yang mendatang. Kalau di negara barat apabila ada kerengangan antara   ibu dan bapa, mereka  boleh berhubung dengan  kaunselor keluarga untuk  meminta nasihat dan bimbingan tetapi sebenarnya  kita juga boleh meminta  nasihat dari "pemimpin agama" kita, atau langkah yang terpenting ialah sentiasa meminta pertolongan dan kekuatan daripadaNya.
2. Fokuslah pada pembentukan keperibadian anak-anak dengan kasih sayang.
Memberikan  kasih sayang terhadap anak-anak merupakan satu bentuk pendidikan yang  mampu memberikan impak positif pada minda mereka. Oleh yang demikian  fokus ibubapa dalam mendidik anak ialah dengan membentuk peribadi yang positif dan menyeluruh serta  bukan sekadar meletakkannya pada nilai dan gred markah yang akan  diperolehi oleh mereka dalam peperiksaan. Siapa pun dan bagaimana pun  tahap intelek mereka, selagi mereka digelar anak mereka tetap adalah  anak kita. Memberikan pendidikan pada anak-anak merupakan tanggungjawab  orang tua. Ibu bapa tidak harus membuat ugutan dan tuntutan pada  anak-anaknya (apa lagi yang masih peringkat kanak-kanak) dengan  kenyataan negatif seperti anak-anak berhutang pada orang tua mereka yang  telah menyekolahkan mereka. Faktanya ialah para ibubapa harus membalas  jasa orang tua mereka dengan cara mendidik cucu-cucu mereka dengan  baik.Niat yang murni untuk mendidik anak-anak sangat penting.
3. Memahami kebolehan dan kekuatan anak.
Jangan  sekali-kali membandingkan anak-anak kita dengan orang lain.  Perbandingan negatif akan membuatkan anak-anak juga bersikap  negatif.Jika anak-anak kita gagal atau kurang cemerlang jangan  bandingkan mereka dengan orang lain, adik beradik, kawan-kawannya,jiran  ataupun saudara-saudaranya yang lain. Ini akan menimbulkan perasaan  rendah diri, tidak yakin,dendam dan marah pada ibubapa. Kekuatan dan  kebolehan anak-anak kita mungkin berbeza dengan anak orang lain. Malah  ia juga berbeza dengan adik beradiknya yang lain. Berilah pujian dan  penghargaan sewajarnya terhadap segala usaha dan kejayaan anak itu  sekalipun kejayaan dan usaha itu kecil pada pandangan kita.  Kecenderungan, kebolehan dan kekuatan anak perlu dikenalpasti agar dapat  dipupuk menjadi "gergasi" dalam diri mereka. Potensi itu juga  perlu digilap serta dibajai dengan sempurna dan penuh kasih sayang.  Apabila ini dapat dilakukan maka pastinya kebolehan dan potensi  anak-anak itu akan dapat berkembang dan peribadi mereka juga dapat  bertumbuh menjadi diri mereka sendiri dan bukan "dipaksa menjadi seperti orang lain".
4. Jadilah teladan kepada anak-anak dalam mencintai ilmu (belajar/membaca).
Anak-anak  sangat mudah dipengaruhi oleh apa yang dilihatnya.Mereka suka meniru,  mencontohi ataupun meneladani apa yang dilakukan oleh orang di  persekitarannya.Oleh yang demikian apabila ibu bapa gagal menjadi  teladan yang baik mereka akan menjadikan"seseorang" sebagai orang  yang boleh mereka jadikan contoh (baik/buruk). Sehubungan dengan itu,  ibu bapa perlulah menjadi teladan yang baik terutamanya dalam soal  belajar (dan juga membaca). Anak-anak yang melihat orang tuanya rajin "belajar dan membaca"   serta sentiasa mengambil berat terhadap apa yang mereka lakukan akan  menjadi menjadi ikutan atau idola anak-anak. Malah tabiat positif  ibubapanya juga akan dikuti oleh anak-anak, seperti pepatah melayu yang  berbunyi "bapa borek anak rintik."Begitu juga dalam hal  mengambilberat terhadap perkembangan pelajaran anak-anak perlulah  dilakukan oleh ibubapa.Persoalannya adakah kita menjadi idola yang  positif buat mereka?..kalau tidak anak-anak itu akan mencari idola di  luar sana yang mungkin tidak bersesuaian.
Akhir sekali, kegagalan anak-anak kita tidak bererti kiamat telah tiba, kita harus terima hakikat dan jangan malu untuk mengakuinya. Beri pengharapan dan sokongan moral pada anak-anak serta elakkan dari melabelkan mereka sehingga menjadi menjadi bahan sindiran dan punca kekecewaan. Masih belum terlambat untuk membaikinya. Prestasi kecemerlangan anak yang kurang baik hanyalah sebagai buah kepada permasalahan utama yang ada, iaitu permasalahan dalam soal berkeluarga. Permasalahan utama itu harus diselesaikan terlebih dahulu...Kadang-kadang kebenaran ini pahit dan sukar untuk kita mengakuinya, tetapi terlalu banyak bukti yang dapat diangkat untuk menyatakan kebenaran ini.
 


